PRN Sabah: Pengundi dinasihat jangan lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’
KOTA KINABALU – Pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dinasihatkan supaya tidak lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk rakyat Sabah) atau parti tempatan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, slogan tersebut sering dilaungkan parti tempatan namun beliau membangkitkan persoalan, jika benar parti terbabit memperjuang hak negeri, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan yang tiada satu pun mampu bersatu sesama mereka.
“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat. Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh.
“Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa. Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bung Moktar menegaskan, tidak perlu terlalu banyak parti politik untuk memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya perjuangan tersebut memerlukan satu halatuju yang jujur, stabil dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“UMNO, BN Sabah berpendirian tegas kita tidak perlu 10 parti untuk perjuangkan Sabah, kita perlukan satu hala tuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat. Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mengulas mengenai slogan Sabah Untuk Orang Sabah yang pada pandangannya tidak seharusnya dibangkitkan menjelang PRN Sabah kali ini.
Timbalan Perdana Menteri itu turut dipetik sebagai berkata, sentimen berkenaan tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








