PRN Sabah: Berhenti sokong parti yang gagal urus negeri dengan baik – Hajiji
PAPAR – Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak lagi memberi peluang kepada parti yang gagal mentadbir negeri tersebut dengan baik.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat harus menilai dan memilih pemimpin yang benar-benar mampu menerajui negeri atau sekurang-kurangnya berupaya menguruskan kawasan yang diwakili dengan baik.
“Ada (pemimpin dan parti) yang sudah diberi peluang menjadi kerajaan tetapi dalam pilihan raya ini masih mahu mendapat sokongan daripada rakyat untuk menjadi kerajaan semula.
“Mereka sudah diberi peluang tetapi gagal mentadbir Sabah. Dua tahun setengah mereka ditolak oleh rakyat… takkan dalam pilihan raya ini, kita bagi lagi mereka peluang? Mana boleh… mereka sudah gagal.
“Jadi, bagi peluang kepada GRS kerana kita telah membuktikan berjaya membangunkan Sabah dan ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji turut berkata, segelintir pemimpin pernah mentadbir kerajaan negeri juga tidak menggunakan peluang yang ada ketika memegang jawatan dalam kementerian.
“Ada yang pernah menjadi menteri Persekutuan… enam hingga lapan tahun menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar (ketika itu), jadi Ketua Menteri dua tahun setengah tetapi banyak masalah di luar bandar Sabah.
“Cakap mahu jadi kerajaan tetapi saya tengok di Semporna pun tidak terurus. Sampah-sarap bertimbun… paling kotor bukan saja di Sabah tetapi seluruh Malaysia.
“Jangan harap dia boleh membangunkan dan mentadbir Sabah selepas pilihan raya ini. Ini bukti. Jangan rakyat terpengaruh dengan janji atau cakap macam-macam.
“Ini terbukti. Kalau di kawasan sendiri pun tidak boleh diuruskan dengan baik, apalagi daerah lain atau negeri… ini logiknya,” katanya lagi.
Hajiji kemudian turut menyatakan keyakinannya bahawa GRS akan diberi peluang untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN Sabah, esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








