BERITA SEMASAPOLITIK

GRS komited tunai amanah selepas bentuk kerajaan di Sabah – Armizan

KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan kesediaan untuk segera bekerja menunaikan mandat rakyat selepas berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu melalui majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, seluruh pimpinan gabungan itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang sebelum ini bersama GRS akan bergerak seiring untuk memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan sebaik sahaja pentadbiran kerajaan diperkukuhkan.

“Insya-Allah, GRS dan rakan-rakan parti serta kesemua ADUN Bebas yang sebelum ini berada dalam GRS sama ada sebagai ADUN atau pimpinan parti sebelum pembubaran, akan bergerak segera menunaikan mandat dan amanah rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah selepas mengangkat sumpah dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu awal pagi tadi, disaksikan ADUN yang memberikan sokongan sehingga terbentuknya kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Papar itu merakamkan penghargaan kepada para pengundi di kawasannya atas sokongan yang diterjemahkan melalui kemenangan GRS di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Papar.

“Saya berterima kasih kepada semua pengundi kerana memberi mandat kepada GRS di tiga DUN dalam Parlimen Papar iaitu Limbahau, Kawang dan Pantai Manis,” katanya.

Pada PRN Sabah yang berlangsung semalam, GRS muncul blok terbesar dengan memenangi 29 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button