POLITIK

Rakyat Sabah pilih wakil rakyat esok

KOTA KINABALU – Seramai 1.76 juta rakyat Sabah yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang diyakini mampu merealisasikan hasrat untuk melihat kemajuan di kawasan masing-masing, esok.

Semua 882 pusat mengundi di seluruh negeri dengan 3,558 saluran mengundi akan dibuka serentak pukul 7.30 pagi esok sebelum ditutup secara berperingkat bermula pukul 12 tengah hari hingga 5.30 petang, lapor BERNAMA.

Pada Selasa lepas, sebanyak 17,615 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera bersama pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi

Bagi PRN Sabah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu 196 penolong pegawai pengurus bagi memastikan kelancaran pengundian yang dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM116.8 juta.

Selain itu, lebih 12,000 anggota polis juga digerakkan bagi memastikan kelancaran hari mengundi pada esok.

SPR menjangkakan keputusan awal pengundian dapat diumumkan kira-kira pukul 10 malam, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Semakan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati hujan dijangka melanda beberapa tempat di Sabah pada pagi esok, manakala ribut petir diramal di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Hujan juga dijangka melanda beberapa tempat pada sebelah malam.

PRN ke-17 menyaksikan pertembungan paling sengit di DUN Tulid dengan 14 calon bertanding, diikuti Bandau, Tamparuli dan Inanam (masing-masing 13 penjuru) serta Banggi (12 penjuru).

Pada PRN kali ini, sebanyak 596 calon bertanding di 73 kerusi DUN yang terdiri daripada 525 lelaki dan 71 wanita.

Daripada jumlah itu, calon Bebas mencatat jumlah tertinggi, iaitu 74 orang, diikuti Parti Warisan (73), Parti Impian Sabah (72), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (55), Parti Solidariti Tanah Airku (46), Barisan Nasional (45), Perikatan Nasional (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (25) dan Pakatan Harapan (22).

Turut bertanding ialah Parti Kebangsaan Sabah (20), Parti Kerjasama Anak Negeri (17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16), Parti Bumi Kenyalang (14), Parti Rumpun Sabah (7), Parti Maju Sabah (6), Parti Damai Sabah (5), Perjuangan Rakyat (6), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (3), Parti Bangsa Malaysia (3), dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (3).

Sementara itu, Parti Bersatu Sasa Malaysia dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah masing-masing satu calon.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button