BERITA SEMASAPOLITIK

Tuntutan 40 peratus hak Sabah tidak boleh diselesaikan secara bersendirian – Azalina

TUARAN – Mana-mana parti yang bakal membentuk kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh bertindak secara sendirian dalam menuntut hak 40 peratus hasil negeri, sebaliknya perlu menjalin hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan rundingan berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa naratif kempen seperti ‘Sabah for Sabahan’ berisiko mencetuskan sentimen negatif dan tidak membantu mencapai penyelesaian sebenar terhadap tuntutan tersebut.

“Isu pemberian 40 peratus hak Sabah mungkin dipolitikkan untuk PRN. Apa pun keputusannya, mana-mana kerajaan yang dipilih rakyat tidak boleh lari daripada mempunyai hubungan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kerajaan Pusat.

“Kita sebuah negara Persekutuan, tidak boleh bergerak solo. Tiada kerajaan negeri boleh bertindak sendiri untuk menuntut hak mereka,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Azalina menambah bahawa di Semenanjung sendiri empat negeri pembangkang iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis tetap menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat Pusat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Jelajah Justice on Wheels di Perkarangan Pasar Daerah Tuaran, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong telah berlangsung sejak minggu lalu untuk memperincikan mekanisme pemberian 40 peratus itu.

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah menjadi fokus utama sepanjang kempen PRN khususnya dalam kalangan parti tempatan yang menjadikannya modal menarik sokongan pengundi.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan pemberian tersebut selama hampir lima dekad sejak 1974.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan menyemak semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah dalam tempoh 90 hari bermula tarikh keputusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button