GRS, PH Plus akan bermesyuarat tetapkan tarikh PRN Sabah
KOTA KINABALU – Pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah akan bermesyuarat terlebih dahulu bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mesyuarat itu akan mengambil kira pelbagai pandangan, termasuk keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat, lapor Buletin TV3.
“Ya, nanti kita akan bermesyuarat, bukan sahaja dengan GRS tetapi juga rakan-rakan kita dalam kerajaan PH Plus. Selepas itu, baru kita putuskan bila Pilihan Raya Negeri Ke-17 akan diadakan,” katanya selepas hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-16, penggal kelima, hari ini.
Mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bekerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN17, Hajiji berkata, kerajaan negeri terbuka terhadap sebarang rundingan politik sehingga pilihan raya diadakan.
“Itu pandangan Barisan Nasional. Kita sebagai kerajaan negeri mempunyai pendirian tersendiri, namun demi kebaikan rakyat dan negeri, kita tidak menutup pintu rundingan dengan parti-parti lain.
“Yang penting adalah manfaat kepada rakyat dan kestabilan politik negeri. Kita perlu bersatu demi masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya lagi.
Tambah beliau, walaupun terbuka kepada kerjasama, kerajaan negeri yang ada sekarang tetap menjadi penentu utama hala tuju pentadbiran Sabah.
Untuk rekod, Hajiji tahun lalu pernah memberi bayangan PRN Sabah dijangka diadakan sebelum Oktober 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







