BERITA SEMASA

11 langkah perkasakan keselamatan sekolah dilaksana sejak Oktober 2025 – Fadhlina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan 11 langkah tambahan secara berperingkat bagi memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan di seluruh negara sejak Oktober 2025.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sebahagian daripada langkah berkenaan telah selesai dilaksanakan, manakala sebahagian lagi sedang diperluaskan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid terus diberi keutamaan.

“Saya kongsikan satu per satu supaya ibu bapa dan masyarakat boleh melihat sendiri apa yang telah dilaksanakan.

“Saya juga tidak mahu kita berhenti setakat apa yang sudah dibuat. Kalau masih ada kelompongan, kita baiki. Kalau ada kelemahan, kita perbetulkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Katanya, antara langkah utama ialah perluasan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama menerusi tiga fasa, dengan peruntukan RM3 juta bagi 200 sekolah yang siap pada November 2025.

Fadlina berkata, fasa kedua melibatkan peruntukan RM5 juta untuk 333 sekolah berasrama dan dijangka siap pada September 2026, manakala fasa ketiga membabitkan peruntukan RM15 juta untuk 1,000 sekolah pada 2027.

Selain itu, seramai 300 MySTEP Pembantu Warden Asrama dilantik dan mula bertugas sejak 1 April 2026 bagi membantu tugas warden serta pemantauan di asrama.

“Seramai 400 warden turut dilatih dengan Psychological First Aid, selain Modul Pencegahan Bunuh Diri dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pendedahan kepada semua guru.

“Dalam aspek sokongan psikologi, KPM turut menambah 5,107 perjawatan baharu kaunselor di sekolah,” katanya lagi.

Pelaksanaan Saringan Minda Sihat pula katanya, diperluaskan daripada sekali kepada dua kali setahun, manakala saringan empat kali setahun diberikan kepada murid yang menunjukkan tanda awal berkaitan kesihatan mental.

Beliau berkata, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperkasa menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah bagi membantu pemantauan kawasan sekolah.

KPM juga memperkenalkan dan melaksanakan Polisi Perlindungan Murid Sekolah di semua sekolah di seluruh negara.

“Dalam pengurusan disiplin, kuasa menangani kes disiplin turut diperjelas supaya tindakan dapat diambil oleh pihak yang mempunyai tanggungjawab di sekolah.

“Semua guru kini diiktiraf sebagai guru disiplin, manakala kuasa melaksanakan tindakan disiplin boleh diturunkan mengikut peraturan ditetapkan.

“Sistem Sahsiah Diri Murid pula ditambah baik kepada Sistem Salah Laku Disiplin Murid bagi memberi fokus lebih khusus terhadap pencegahan salah laku,” katanya lagi.

Pada masa sama, sesi dialog dan penggunaan kotak suara murid diperkasakan bagi membolehkan murid menyampaikan masalah, pandangan serta cadangan berkaitan persekitaran sekolah.

Fadhlina turut berkata, usaha memperkukuh keselamatan sekolah masih belum selesai dan KPM akan terus melakukan penambahbaikan sekiranya terdapat sebarang kelompongan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button