PISA 2025: Anak-anak bukan hanya perlukan sekolah yang baik, mereka perlukan kita – Menteri Pendidikan
KUALA LUMPUR – Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 bukan sekadar angka pencapaian akademik, sebaliknya turut menjadi peringatan mengenai pentingnya peranan keluarga dalam pendidikan anak-anak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan PISA berhubung sokongan keluarga terhadap pembelajaran anak-anak Malaysia masih perlu diperkukuhkan, selain cabaran baharu yang dihadapi golongan berkenaan termasuk ancaman buli siber.
Menurut beliau, perkara itu dilihat bukan hanya daripada perspektif sebagai seorang menteri, tetapi juga sebagai seorang ibu yang turut mempunyai kebimbangan terhadap perkembangan anak-anak.
“Apabila PISA bercakap tentang anak-anak yang cekal, saya teringat anak-anak saya sendiri. Ada hari mereka pulang dengan cerita yang menggembirakan. Ada hari mereka diam.
“Ada hari kita sebagai ibu tahu ada sesuatu yang tidak kena hanya dengan melihat wajah mereka,” katanya.
Beliau berkata, kesibukan mengejar kehidupan menyebabkan ibu bapa kadangkala terlepas peluang untuk benar-benar mendengar dan memahami apa yang dilalui anak-anak.
Katanya, perkara kecil seperti meluangkan masa bertanya mengenai hari mereka, mendengar cerita atau memberi sokongan selepas melalui hari yang sukar amat penting dalam perkembangan anak.
“Zaman anak-anak kita menjadi kecil tidak lama. Suatu hari nanti, mereka tidak lagi berebut mahu bercerita tentang sekolah.
“Dan mungkin ketika itu kita mempunyai lebih banyak masa. Cuma mereka sudah tidak memerlukan kita seperti dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian PISA turut menunjukkan anak-anak Malaysia mempunyai rasa ingin tahu dan kecekalan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya, mereka membesar dalam dunia yang semakin kompleks, termasuk ruang digital yang boleh mendedahkan mereka kepada ancaman seperti buli siber.
“Sebagai Menteri, saya melihatnya sebagai cabaran kepada sistem pendidikan. Sebagai ibu, saya terfikir, bagaimana kalau itu anak saya?
“Bagaimana kalau dia sedang terluka tetapi saya terlalu sibuk untuk menyedarinya?” katanya.
Beliau menegaskan, usaha meningkatkan prestasi pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kedudukan Malaysia dalam penilaian antarabangsa.
Katanya, pencapaian dalam Matematik perlu terus diperbaiki, manakala peningkatan dalam aspek Membaca dan Sains perlu diperkukuhkan.
“PISA bagi saya bukan sekadar tentang Malaysia nombor berapa. Akhirnya, kita sedang bercakap tentang kehidupan anak-anak kita.
“Saya memikul amanah menjaga pendidikan jutaan anak Malaysia. Tetapi apabila pulang ke rumah, saya tetap seorang ibu dengan kerisauan yang sama seperti ibu-ibu lain,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memastikan kesibukan menyediakan masa depan anak-anak tidak menyebabkan mereka mengabaikan keperluan untuk hadir dalam kehidupan anak-anak pada masa kini.
“Anak-anak tidak hanya memerlukan sekolah yang baik. Mereka memerlukan kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








