Tunggakan pinjaman PTPTN cecah RM10.7 bilion
KUALA LUMPUR – Tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mencecah RM10.7 bilion, membabitkan kira-kira 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pelbagai langkah sedang diambil PTPTN bagi memastikan kelestarian jangka panjang model pembiayaannya, termasuk memperkukuh pengurusan pinjaman dan menambah baik kutipan bayaran balik.
Menurutnya, terma serta syarat pinjaman akan diperhalusi bagi memastikan pembiayaan disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kewangan PTPTN.
“PTPTN juga akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui langkah penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
KPT menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah terkini hutang peminjam PTPTN serta langkah yang diambil bagi memperkukuh kutipan bayaran balik.
Pada masa sama, kementerian menegaskan kebajikan peminjam yang benar-benar berdepan kesukaran untuk melunaskan pinjaman sentiasa diberi perhatian.
Sehubungan itu, peminjam yang menghadapi masalah kewangan digalakkan tampil berunding dengan PTPTN bagi menstruktur semula jadual bayaran balik mengikut kemampuan masing-masing.
Mereka juga boleh memohon penangguhan bayaran, tertakluk kepada fleksibiliti yang dibenarkan PTPTN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








