JENAYAH & MAHKAMAH

Op Angel: PDRM tumpaskan ‘Geng Yunaa’, lapan individu ditahan eksploitasi seks kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Yunaa selepas menahan lapan individu tempatan dalam serbuan serentak menerusi Op Angel, semalam.

Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 20 hingga 43 tahun itu dipercayai terlibat aktif dalam aktiviti eksploitasi seks komersial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M.Kumar berkata, operasi khas tersebut dijalankan oleh keanggotaan D7 dan D9 JSJ Selangor dengan kerjasama bahagian D3 serta E1 Bukit Aman, dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Sindiket ini dikesan mula aktif sejak tahun 2024 dan dipercayai mendalangi sekurang-kurangnya 17 kes menawarkan khidmat seks.

“Lebih menyedihkan, siasatan awal mendapati kumpulan ini turut terlibat dalam mengeksploitasi kanak-kanak serta remaja tempatan untuk aktiviti pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat dan risikan, pihak polis telah menyerbu lima premis perniagaan dan kediaman di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Mengulas lanjut, kesemua lapan individu terbabit kini ditahan reman selama 28 hari bermula tarikh tangkapan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Siasatan lanjut turut dijalankan di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan (menyediakan tempat pelacuran), Seksyen 372B Kanun Keseksaan (mencari langganan bagi maksud persundalan), dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button