BUDI95: Pemegang lesen motosikal di sempadan guna maksimum 300 liter akan disiasat
KUALA LUMPUR – Isu pengguna terutamanya pemegang lesen motosikal Malaysia di kawasan sempadan yang dikesan menggunakan sepenuhnya had subsidi petrol RON95 (BUDI95) sebanyak 300 liter akan disiasat sepenuhnya bagi mengelak kegiatan penyelewengan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kegiatan itu akan dipantau dan disusul dengan analisa data yang diterima daripada pihak Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Ini bagi mengenal pasti trend pembelian dan penggunaan petrol RON 95 oleh individu yang hanya memiliki lesen motosikal terutamanya di sempadan negara.
“Siasatan akan dilakukan dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku pembelian untuk tujuan penyelewengan dan penyeludupan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Armizan turut menafikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu-isu teknikal kurang kritikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat.
Jelas beliau, dakwaan sedemikian tidak tepat kerana MyCC mengikut Akta Persaingan 2010 (Akta 712) diberikan mandat untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dengan melindungi proses persaingan dan melindungi kepentingan pengguna
“Sejak penubuhan MyCC pada 2011 sehingga kini, MyCC sudahpun mengenakan penalti berjumlah RM687.9 juta terhadap 270 syarikat daripada pelbagai industri yang terbabit dalam kegiatan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan.
“Kesemua ini memberi kesan positif secara langsung atau tidak langsung kepada kos sara hidup rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, selaras dengan iltizam kerajaan Madani, MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaannya terhadap tiga jenis kartel utama.
“Pertama, kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan; kedua, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian dan ketiga, kartel dalam perkhidmatan asas pengguna,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








