BERITA SEMASA

Budi95: Lebih 84 peratus rakyat yang layak terima manfaat

KUALA LUMPUR – Lebih 84 peratus daripada 16.5 juta rakyat Maaysia yang layak telah menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui program Budi Madani RON95 (Budi95, setakat 30 November lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dalam tempoh sama, program itu turut merekodkan nilai jualan RM5.16 bilion dengan jumlah penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter.

“Kerajaan dijangka menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun bergantung kepada harga minyak dunia serta berdasarkan data penggunaan domestik sebelum pelaksanaan Budi95.

“Anggaran itu mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara AS$60 hingga AS$80 setong, selain penghapusan subsidi bagi segmen tidak disasarkan seperti bukan warganegara dan pengguna komersial,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam mengenai tahap penjimatan fiskal yang dicapai kerajaan selepas sebulan pelaksanaan subsidi bersasar Budi95.

Jelas Hui Ying, oleh kerana penyasaran subsidi RON95 hanya bermula pada 30 September 2025, jumlah penjimatan tahunan hanya boleh dinilai secara penuh mulai 2026.

“Bagi 2025, fokus kerajaan adalah memantau serta menambah baik mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sistem Budi95 kekal stabil, mesra pengguna dan berupaya mengurangkan ketirisan subsidi,” katanya.

Beliau turut menegaskan, penjimatan yang dijana melalui pelbagai inisiatif subsidi bersasar termasuk Budi95 membolehkan kerajaan memiliki ruang fiskal lebih luas untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button