Pengurangan kuota BUDI95 bersifat sementara, langkah awal elak krisis bekalan lebih buruk
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menyelaras kuota subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April ini disifatkan sebagai langkah awal yang perlu bagi mengelakkan kesan krisis bekalan minyak menjadi lebih serius di negara ini.
Perkara itu dikongsi Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pahang, Norman Daud selepas menghadiri satu taklimat secara dalam talian yang disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung situasi semasa bekalan tenaga malam tadi.
Menurutnya, pengurangan kuota tersebut bersifat sementara dan akan dikembalikan semula selepas konflik di Asia Barat reda serta bekalan minyak kembali stabil.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas perbincangan panjang bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Katanya, walaupun kapal dari Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz, jumlahnya masih terhad dan penghantaran bekalan pula mengambil masa berminggu untuk tiba ke negara ini.
“Isunya bukan kepada harga minyak semata. Isu yang paling besar adalah isu bekalan minyak tersebut.
“Negara kita mesti melakukan penjimatan memandangkan pengeluaran bekalan minyak negara kita tidak mencukupi bagi menampung penggunaan domestik.
“Kita terpaksa mengimport 50 peratus minyak luar bagi menampung keperluan negara.
“Kita kena berlaku jujur, ini bukan soal kerajaan ‘kedekut’ subsidi atau sengaja nak susahkan hidup orang. Ini soal realiti bekalan,” katanya menerusi hantaran di Facebbok.
Menurut Norman, kerajaan memilih untuk bertindak awal apabila mengurangkan kuota dari 300 liter kepada 200 liter bukan kerana bekalan sudah habis, tetapi untuk elakkan keadaan sampai ke tahap catuan penuh.
“Ini langkah ‘buffer’. Langkah menahan gelombang sebelum ia jadi tsunami. Bayangkan kalau tiada pelarasan dibuat.
“Permintaan kekal tinggi, bekalan pula semakin perlahan masuk. Apa jadi? Stesen kehabisan minyak. ‘Panik buying’. Harga pasaran melambung.
“Masa itu, bukan lagi soal 200 atau 300 liter lagi dah, masa tu nak dapat 20 liter pun belum tentu,” katanya.
Jelas beliau, disebabkan itu kerajaan mengambil pendekatan serampang dua mata.
“Satu, kawal permintaan melalui pengurangan kuota sementara. Dua, pastikan sektor kritikal seperti pengangkutan, pertanian dan logistik terus mendapat keutamaan melalui skim bersasar.
“Ini penting. Kita tak boleh biarkan lori makanan, nelayan, pesawah terjejas.
“Kalau sektor ini lumpuh, kesannya lebih besar daripada sekadar harga minyak dan ia akan kena terus pada harga barang asas rakyat,” katanya,
Menurutnya lagi, satu perkara yang ramai terlepas pandang adalah krisis itu bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi bersifat global.
“Negara lain sudah mula mencatu, ada yang harga minyak melonjak tanpa kawalan.
“Kita masih lagi dalam keadaan terkawal kerana kerajaan bertindak sebelum keadaan menjadi parah.
“Jadi naratifnya jelas. Ini bukan pengurangan untuk menghukum rakyat. Ini pengurangan untuk memastikan semua masih dapat, walaupun dalam keadaan dunia sedang tidak stabil,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








