BERITA SEMASA

BUDI95: Tiada sekatan bagi MyKad selagi patuh undang-undang

PUTRAJAYA – Tiada sebarang sekatan bagi rakyat Malaysia menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi BUDI95 selagi ia dibuat mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, penjelasan itu susulan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara yang berkait siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya.

“JPN ingin menjelaskan bahawa kenyataan Ketua Pengarah adalah berkait siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya, selaras dengan bidang kuasa Jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri.

“Dalam konteks kes yang dilaporkan, siasatan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan 4 keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan.

Kenyataan Ketua Pengarah (yang dibuat itu) bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan,” kata JPN dalam satu kenyataan, hari ini.

JPN berkata, merujuk kepada Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan.

“(Sehubungan itu) JPN bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan.

“Orang ramai diseru supaya menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan.

“Ini termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti,” katanya lagi.

JPN kemudiannya berkata, pihaknya akan terus komited dalam memastikan MyKad yang dikeluarkan berfungsi dengan baik sebagai instrumen pengenalan diri yang sah dan diyakini, termasuk
dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Kerajaan seperti BUDI95.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button