Kuota BUDI95 bakal dikurangkan?
CYBERJAYA – Kerajaan difahamkan bercadang untuk mengurangkan kelayakan bulanan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Laporan The Edge yang memetik sumber berkata, cadangan itu susulan kenaikan harga bahan api akibat perang di Asia Barat dan dijangka diumumkan seawal minggu ini.
Menurut laporan itu malam tadi, kuota baharu bagi bahan api bersubsidi yang dijual pada harga RM1.99 seliter itu berkemungkinan bermula bulan hadapan.
Selepas pengguna melebihi had 200 liter, mereka perlu membayar harga mengikut kadar harga pasaran.
Dari hari ini hingga 1 April, kadar tersebut ialah RM3.87 seliter, meningkat 60 sen daripada RM3.27 sebelum ini.
Sejak 11 Mac, harga RON95 tanpa subsidi telah meningkat sebanyak dua kali, dengan kenaikan keseluruhan RM1.20 atau 44.94 peratus daripada RM2.67.
Harga runcit RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia juga meningkat selama tiga minggu berturut-turut, dengan harga pam RON97 kini RM5.15 seliter bermula hari ini.
Ini merupakan peningkatan keseluruhan sebanyak RM1.90 atau 58.46 peratus sejak 11 Mac, apabila harganya RM3.25.
Begitu juga, harga diesel di Semenanjung Malaysia kini RM5.52 seliter, meningkat RM2.40 atau 76.92 peratus dalam tempoh sama daripada RM3.12.
Menurut The Edge, pengetatan kuota berkenaan merupakan langkah fiskal yang perlu dilaksanakan ketika Kementerian Kewangan (MoF) berdepan bil subsidi yang menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan mencecah RM24 bilion tahun ini jika harga minyak mentah global kekal melebihi AS$110 setong.
Sebelum perang bermula, minyak mentah Brent berada pada paras AS$70.84 pada 26 Februari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








