BERITA SEMASA

Cadangan pengamal media diberi pengecualian khas BUDI95 akan dibawa ke MTEN minggu depan

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya pengamal media berdaftar diberi pengecualian khas kuota petrol RON95 akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau bersedia mengemukakan cadangan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) tersebut.

“Saya ambil maklum tentang perkara tersebut. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat MTEN pada Selasa depan,” katanya selepas merasmikan Program Penyakit ‘Tiga Serangkai’ jadi fokus Kempen Kesihatan Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Semalam, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon supaya kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati sebelum ini.

GKMM berkata, langkah penyelarasan sementara BUDI95 kepada 200 liter sebulan memberi cabaran besar buat pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo dalam menyempurnakan tugasan di lapangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, bermula Rabu depan, sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid bagi memudahkan pengamal media mengikuti perkembangan semasa secara dalam talian.

“Saya mengambil inisiatif melaksanakan sidang media secara hibrid bagi sidang media mingguan.

“Hal ini bagi membolehkan wartawan sama ada yang bertugas di Putrajaya boleh hadir secara fizikal dan mungkin yang bertugas di Kuala Lumpur boleh mengikuti (sidang media) secara hibrid dan bertanya soalan secara dalam talian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button