Fahmi jumpa wakil syarikat media Rabu ini, bincang isu kebajikan petugas
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil pengamal media pada Rabu ini bagi membincangkan mengenai kemelut yang dihadapi oleh syarikat media di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, antara isu yang bakal dibincangkan termasuk masalah kewangan serta isu kebajikan yang melanda mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mengambil kira apa yang berlaku dalam syarikat media yang hadapai kesukaran bayar gaji saya telah memanggil satu kumpulan sama ada wartawan pihak media kita akan bertemu pada hari rabu ini untuk membincangkan terutama isu kebajikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Digital Leadership Excellence 2024.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kemelut yang dihadapi Petra News Sdn. Bhd. (Petra News) berhubung isu tunggakan caruman berkanun serta kelewatan pembayaran gaji pekerja syarikat media itu.
Susulan itu, Fahmi berkata, satu pertemuan telah diadakan hari ini antara wakil syarikat dan pekerja yang terjejas, namun perincian mengenai pertemuan tersebut masih belum diumumkan.
Kelmarin, 15 petugas Petra News Sdn Bhd menuntut pembayaran segera caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun lepas.
Mereka memaklumkan, semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.
Mengulas lanjut, Fahmi mengakui dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, syarikat media menghadapi tekanan ekonomi yang besar disebabkan oleh perubahan besar dalam landskap industri media.
Beliau berkata, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah pemindahan dana pengiklanan yang sebelum ini disalurkan ke media arus perdana, kini beralih ke media sosial.
“Ini menunjukkan perubahan besar dalam cara orang ramai mendapatkan maklumat dan berita, di mana media sosial semakin mendominasi sebagai platform pilihan utama untuk pengiklanan.
“Namun, ada juga syarikat media yang berjaya mengubah cara operasi mereka dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini, sekaligus mencari kedudukan yang baru dalam pasaran,” ujarnya.
Dengan mengambil kira perubahan ini, Fahmi Fadzil menyatakan hasratnya untuk meneliti cara-cara baru yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu syarikat media.
“Yang paling penting adalah nasib dan kebajikan pekerja dalam sektor media, yang merupakan elemen utama dalam memastikan kelangsungan dan kualiti industri media di negara ini,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








