Anak Rafizi diserang: Fahmi sedih, gesa penyerang diberkas segera
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa agar penyerang anak kepada bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli segera diberkas dan diheret ke muka pengadilan.
Menurut Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, sebagai seorang bapa kepada anak-anak yang hampir sebaya dengan anak Rafizi, beliau turut bimbang akan keselamatan keluarga berkenaan.
“Saya amat sedih, terkejut dan marah menerima perkhabaran ini. Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak saudara Rafizi Ramli, saya juga amat risau tentang keselamatan keluarga.
“Saya mendoakan Ben cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada saudara Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya di platform X hari ini.
Terdahulu, anak lelaki Rafizi dilaporkan diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang.
Menurut kenyataan Rafizi, kejadian berlaku ketika isterinya dan anak mereka baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi berkenaan, sebelum anaknya ditarik secara tiba-tiba dan dicucuk dengan jarum suntikan.
Hasil semakan awal mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kenderaan dinaiki isteri Rafizi. Kedua-dua suspek berpakaian serba hitam, memakai topi keledar penuh yang menutup wajah serta dipercayai telah menunggu sebelum melancarkan serangan.
“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini,” katanya.
Rafizi percaya insiden tersebut merupakan satu bentuk amaran terhadap dirinya agar tidak terus bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
Anaknya kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang untuk rawatan lanjut, selepas pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Rafizi turut memaklumkan beliau serta ahli keluarganya telah memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
“Insya-Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








