POLITIK

Singgung perasaan penganut Kristian: Noorazli mohon maaf

SEPANG – UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said tampil memohon maaf sekiranya ucapan yang disampaikannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.

Menurut beliau, kisah yang dikongsikan ketika ucapan tersebut digunakan semata-mata sebagai analogi untuk menyampaikan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.

“Cerita berkenaan tidak pernah bertujuan menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.

“Saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorazli berkata, beliau menerima perkara tersebut sebagai satu pengajaran dan akan lebih berhati-hati dalam memilih analogi serta menyampaikan pandangan pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa dirinya sentiasa menghormati setiap agama dan kepercayaan serta menjunjung nilai keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya berharap penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button