Segmen pengundi hampir sama, BERSAMA ‘kacau’ sokongan PKR di PRN Johor
AYER KEROH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui kemunculan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pimpinan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, sedikit memberi kesan kepada sokongan PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu berlaku kerana BERSAMA menyasarkan segmen pengundi yang hampir sama dengan PKR.
Menurutnya, kesan berkenaan dapat dilihat menerusi keputusan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bukit Batu dan Perling apabila calon BERSAMA bertanding di kawasan terbabit.
“Seperti kita lihat dalam keputusan PRN Johor, ada dua kerusi di DUN Bukit Batu dan Perling, di mana ada calon BERSAMA diletakkan di situ dan kita tewas dengan majoriti sangat tipis akibat sedikit perpindahan undi.
“Justeru, AMK perlu bekerja lebih kuat, terus mendengar keluhan rakyat khususnya anak muda serta mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya pada sidang media sempena Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Mengulas mengenai penghijrahan ahli PKR menyertai BERSAMA, Muhammad Kamil mengakui terdapat dalam kalangan pemimpin dan anggota parti yang berhasrat meninggalkan perjuangan PKR untuk menyertai parti berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak menjejaskan perjalanan organisasi PKR kerana jumlah terbabit tidak besar.
“Saya tak tahulah berapa peratus, tetapi mengikut laporan dan angka kita, jumlah itu tidak besar.
“Sama sekali tidak menjejaskan perjalanan organisasi parti dan hari ini kita boleh lihat parti terus kukuh.
“Kehadiran perwakilan dengan jumlah sangat tinggi menunjukkan komitmen serta tekad mereka untuk terus bersama parti,” katanya lagi.
Menurutnya, terdapat anggota yang memberi alasan sudah hilang kepercayaan kepada PKR sebelum memilih untuk bersama parti pimpinan Rafizi itu.
Sebelum itu, Rafizi mendakwa kekalahan PH pada PRN Negeri Sembilan awal bulan ini menyaksikan sebahagian ahli PKR menyertai BERSAMA.
Beliau mendakwa 25 peratus daripada 29,200 ahli BERSAMA ketika ini terdiri daripada bekas anggota PKR, manakala 15 peratus lagi bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, PAS dan BERSATU.
Selebihnya, kira-kira 60 peratus, katanya terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, cadangannya supaya kadar bantuan BUDI RON95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan dibuat berdasarkan pandangan akar umbi AMK.
“Apa yang kita sebut itu atas kapasiti saya sebagai Ketua AMK selepas kita mendengar pandangan anggota di bawah, pandangan rakyat dan masyarakat.
“Kita gunakan ruang yang ada dalam kongres ini untuk menyatakan pendirian dan pandangan kita.
“Saya rasa itu hal yang diketahui umum, iaitu bukan hanya sekadar AMK, malah sebelum daripada ini Angkatan Muda Harapan juga sudah mengambil pendirian sama.
“Kita yakin, jika ini dapat dilakukan, kesannya merentasi semua segmen, daripada T20, M40 dan B40,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








