BERITA SEMASA

Misteri kematian puluhan ekor gajah cetus kebimbangan wabak

KIMANA (KENYA) – Sekurang-kurangnya 19 ekor gajah mati secara misteri di selatan Kenya sejak Jun lalu, dengan kebanyakannya mengalami simptom lumpuh separa sebelum menemui ajal.

Terbaharu, seekor gajah jantan berusia 11 tahun dikenali sebagai Genghis Khan ditemui terbaring dengan kesukaran bernafas.

Pasukan veterinar yang merawatnya hanya mampu memberikan suntikan glukosa kerana punca sebenar penyakit masih belum dikenal pasti.

Agensi Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) sebelum ini melaporkan ujian toksikologi mengesan kandungan sianida yang tinggi dalam bangkai gajah, sekali gus mencetuskan kemungkinan racun perosak dari kawasan pertanian berhampiran menjadi punca kejadian.

Bagaimanapun, beberapa pakar mempersoalkan teori berkenaan, malah ada yang menolak kemungkinan keracunan sebagai punca kematian.

“Ia adalah penyakit,” kata ketua operasi tanah komuniti Olgulului, Patrick Papatiti, yang dilahirkan dan dibesarkan dalam komuniti Maasai tempatan, lapor agensi berita antarabangsa, AFP.

Beliau menegaskan tiada kemungkinan sianida menjadi punca, sambil mempersoalkan tiada haiwan lain mati selepas memakan bangkai gajah yang dipercayai diracun.

“Jika haiwan lain memakan bangkai itu tetapi tidak mati, maka jelas ia bukan bahan kimia,” kata pengurus ekosistem Amboseli bagi pihak berkuasa Daerah Kajiado, Joel Nyika.

Beliau turut menolak kemungkinan sianida berpunca daripada tumbuhan tertentu yang dimakan gajah, seperti yang turut dicadangkan KWS, kerana ternakan di kawasan berkenaan juga sepatutnya terjejas.

“Sebagai pengurus hidupan liar, kami percaya ia mungkin penyakit yang hanya menjejaskan gajah,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, KWS berkata, hasil siasatan setakat ini tidak menunjukkan kewujudan penyakit berjangkit atau yang boleh merebak, selain memberi jaminan kepada pelancong bahawa kawasan berkenaan masih selamat dikunjungi.

Kematian misteri itu turut menimbulkan kebimbangan dalam komuniti pemuliharaan hidupan liar. Beberapa pertubuhan alam sekitar menggesa siasatan menyeluruh dijalankan, manakala renjer di Rizab Kimana berkata mereka tidak diberi kuasa untuk mengulas mengenai perkara itu.

Papatiti bimbang jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan, malah tidak menolak kemungkinan penyakit misteri itu turut menjejaskan populasi gajah di negara jiran, Tanzania.

“Berapa banyak gajah akan mati sebelum kita dapat menghentikannya?” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button