Dara, Amoi dan Kelat stabil di Zoo Tennoji, berat badan meningkat
TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menegaskan keadaan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun berada dalam keadaan stabil dan dipantau rapi.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pemerhatian harian mendapati tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian semua gajah berada dalam keadaan baik termasuk menunjukkan peningkatan berat badan yang positif sejak ditempatkan di zoo itu.
Menurutnya, gajah betina Dara mencatat pertambahan berat sebanyak 235 kilogram (kg), Amoi meningkat 220kg manakala gajah jantan Kelat bertambah 460kg.
“MPT akan menyediakan perkongsian perkembangan semasa secara berkala bagi memastikan ketelusan maklumat, penyampaian informasi tepat serta mengurangkan salah faham dan spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program pengayaan persekitaran, pemakanan dan latihan pengendalian secara Protected Contact turut dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan serta pengurusan gajah berada pada tahap terbaik.
Mengulas dakwaan membabitkan Kelat, Mohamed Akmal menjelaskan perubahan tingkah laku yang diperhatikan adalah disebabkan fasa musth atau ‘turun minyak’ iaitu keadaan biologi semula jadi yang dialami gajah jantan matang.
Katanya, perubahan hormon testosteron ketika tempoh itu boleh menyebabkan haiwan menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan, namun keadaan berkenaan adalah normal dan sentiasa dipantau penjaga zoo serta veterinar.
“Sepanjang tempoh musth, pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan fizikal berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan, air dan output najis serta urin dilaksanakan bagi memastikan keselamatan haiwan dan kakitangan,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan Kelat mengalami masalah mata atau ocular, sebaliknya perubahan yang kelihatan pada bahagian mata gajah itu berpunca daripada pembengkakan temporal gland ketika melalui fasa musth.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Tennoji Zoo mendapatkan khidmat Elephant Business Inc bagi melatih kakitangan dalam aspek pengurusan dan pengendalian gajah secara Protected Contact bagi memastikan penjagaan dan pemeriksaan veterinar dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Mohamed Akmal turut menegaskan dakwaan kononnya berlaku aktiviti ‘force breeding’ terhadap gajah berkenaan adalah tidak benar dan tidak pernah dibenarkan berdasarkan syarat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, beliau berkata serpihan gading milik Kelat ditemui di dalam kawasan kurungannya dan dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.
“Pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat adalah stabil.
“Bahagian tersebut kini dipantau secara berkala bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















