BERITA SEMASA

Wanita dakwa dimalukan ketika buat pasport: JIM buat laporan polis, tegaskan semakan di CCTV temui fakta berbeza

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan polis berhubung satu hantaran tular di media sosial berkaitan pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia,
Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran berkenaan dan telah menjalankan semakan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan daripada pegawai yang bertugas ketika kejadian.

Menurutnya, hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan yang diperoleh JIM.

ā€œJabatan memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh.

ā€œSehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),ā€ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, JIM menegaskan pihaknya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berkaitan perkhidmatan jabatan.

JIM turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham.

ā€œJIM kekal komited untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, di samping terus memberikan perkhidmatan yang berhemah, berintegriti dan mengutamakan kepentingan masyarakat,ā€ katanya.

Terdahulu tular di media sosia seorang wanita mendakwa dirinya berdepan pengalaman memalukan ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu pada 21 Ogos lalu apabila dituduh mencuri penutup pasport sebelum dipanggil masuk ke sebuah bilik untuk soal siasat.

Menerusi perkongsian di media sosial, wanita terbabit berkata, dia hadir bersama suaminya seawal jam 6 pagi bagi urusan membuat pasport dan pada awalnya proses berkenaan berjalan lancar.

Bagaimanapun, ketika menunggu suaminya menyelesaikan urusan penyerahan pasport, dia mendakwa seorang pegawai Imigresen tiba-tiba memanggil namanya dengan kuat sebelum meminta beliau masuk ke sebuah bilik.

Menurutnya, beliau kemudian dikelilingi lebih 10 pegawai Imigresen dan ditanya sama ada membeli penutup pasport.

Wanita itu menjelaskan bahawa dia mengambil penutup pasport berkenaan kerana menyangka ia sebahagian daripada proses pengeluaran pasport, memandangkan ia diletakkan berdekatan pasportnya.

Dia turut mendakwa bahawa itu merupakan kali pertama membuat pasport dan beliau tidak mengetahui penutup berkenaan perlu dibeli secara berasingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button