115 individu ditahan, Imigresen bongkar pusat urut tawar pakej sauna
JOHOR BAHRU – Seramai 115 individu termasuk 54 pekerja warga asing ditahan dalam satu Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan di tiga premis urut dan refleksologi sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Operasi bermula jam 6 petang itu melibatkan 47 pegawai dan anggota penguat kuasa pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya dan Johor, diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman.
Tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis turut diberkas.

Pemeriksaan mendapati selain menawarkan khidmat urutan dan refleksologi, salah sebuah premis menyediakan bilik sauna dengan caj sehingga RM300 mengikut pakej. Pakej biasa pula ditawarkan antara RM92 hingga RM180.
“Daripada jumlah warga asing yang ditahan, 1 lelaki adalah warga Indonesia, 5 warga Myanmar, 2 warga Bangladesh, 1 warga China, 32 wanita warga Thailand, 1 wanita warga Myanmar, 1 wanita warga Vietnam, 1 wanita warga Laos serta 8 wanita warga China.
“Mereka yang berusia antara 19 hingga 59 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang urut.
“Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.
JIM turut mengeluarkan 15 Borang 29 iaitu Saman Kepada Saksi sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








