BERITA SEMASA

Imigresen tumpas sindiket manipulasi maid online, 17 ditahan di Johor

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta sindiket manipulasi Sistem Maid Online (SMO) dalam dua Operasi Khas berasingan di Johor, baru-baru ini dengan penahanan 17 individu termasuk seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama.

Operasi pada 2 dan 3 Mac itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Johor hasil risikan terperinci serta pemantauan berterusan selama dua bulan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pintar (smart enforcement).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama pada 2 Mac di Taman Setia Tropika, seramai 11 warga asing ditahan membabitkan lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.

“Hasil semakan awal mendapati berlaku kes tinggal lebih masa serta penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori Pembantu Rumah Asing (PRA) untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menyita pasport, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

Premis terbabit dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan beroperasi kira-kira setahun.

BACA JUGA:

Imigresen laksana 1,855 operasi, lebih 7,000 PATI ditahan sejak awal tahun

Imigresen perhebat operasi bazar Ramadan, 6,200 PATI ditahan sejak Januari

Sementara itu, dalam operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru, JIM menahan lima wanita warga asing iaitu empat dari Vietnam dan seorang dari Indonesia serta seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang sindiket.

Siasatan mendapati sindiket berkenaan mengemukakan maklumat serta dokumen disyaki palsu bagi mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA untuk individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k).

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut, manakala beberapa warga tempatan diberikan notis hadir membantu siasatan.

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara dan tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button