JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus rugi RM2.45 juta, terpedaya sindiket penipuan panggilan telefon

GEORGETOWN – Seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM2.54 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai siber sekuriti dalam kejadian yang berlaku di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 54 tahun itu tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Ahad lalu selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, kejadian bermula pada 21 Februari lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Georgetown daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai siber sekuriti.

“Suspek memaklumkan terdapat 16 aduan terhadap nombor telefon mangsa yang kononnya terbabit dalam kes penipuan pelaburan dan penyebaran maklumat palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizee berkata, mangsa yang menafikan dakwaan itu kemudiannya diarahkan membuat laporan polis secara dalam talian sebelum panggilan disambungkan kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Menurut beliau, suspek kemudian mendakwa mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, selain memaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

“Suspek mengarahkan mangsa mematuhi semua arahan kononnya bagi membantu siasatan dan mengelakkan daripada ditahan,” katanya lagi.

Beliau berkata, mangsa seterusnya diminta membuka tiga akaun bank berasingan sebelum meletakkan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) bersama nombor pin ke dalam sampul dan diletakkan di bawah pasu di hadapan rumahnya.

Suspek turut memberi jaminan bahawa wang serta kad ATM berkenaan akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

“Hasil penipuan itu, bermula 4 Mac hingga 22 September lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 12 transaksi pindahan wang ke dalam tiga akaun bank yang baru dibuka dengan jumlah keseluruhan kerugian RM2.54 juta,” katanya lagi.

Azizee berkata, mangsa diminta membuat bayaran tambahan namun tidak lagi berkemampuan selepas kehabisan wang pada 13 Disember lalu, sebelum menyedari telah ditipu.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button