BERITA SEMASA

Reformasi BUDI Diesel jimat RM2 bilion setahun 

PUTRAJAYA – Pembaharuan menyeluruh skim BUDI MADANI Diesel yang dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lalu dijangka menjana penjimatan fiskal sebanyak RM2 bilion setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan memastikan subsidi dinikmati golongan yang benar-benar layak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembaharuan itu merupakan antara reformasi penting di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang dirancang sejak beberapa tahun lalu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi.

Menurut beliau, skim itu kini menggunakan sistem pengesahan MyKad yang berjaya mengekang ketirisan dengan memastikan subsidi diesel hanya diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak.

“Pembaharuan BUDI Diesel adalah manifestasi tadbir urus kewangan yang cekap dan mekanisme yang terbukti berkesan.

“Dengan beralih kepada sistem pengesahan MyKad, kita bukan sahaja memudahkan urusan, malah membina benteng kukuh bagi menyekat ketirisan subsidi,” katanya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah menurunkan harga runcit diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter selepas penambahbaikan skim berkenaan.

Katanya, walaupun konflik di Asia Barat masih berlarutan, reformasi penyasaran subsidi memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi pada kadar antara yang terendah di dunia, termasuk diesel pada RM2.10 seliter dan RON95 pada RM1.99 seliter.

“Hasil tambahan fiskal sebanyak RM2 bilion setahun akan disalurkan semula kepada pembangunan negara dan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama seluruh warga Kementerian Kewangan serta sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh yang membolehkan kerajaan menambah baik mekanisme subsidi secara lebih inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button