Bapa didakwa bunuh anak berusia 18 bulan
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, G Thevendhiran, 40, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh anak lelakinya di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya antara pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki gambar dan video lucah ketika berada di kawasan parkir kondominium yang sama kira-kira pukul 1 petang pada 18 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000. Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








