JENAYAH & MAHKAMAH

Kecewa dengan teman lelaki, wanita bunuh anak sebelum gantung diri

KULIM – Seorang wanita berusia 30 tahun ditemukan mati tergantung, dipercayai selepas membunuh anak perempuannya yang berusia empat tahun di Taman Perak, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, Bilik Gerakan IPD Kulim menerima panggilan orang awam pada pukul 11.05 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

“Lokasi kejadian ialah rumah teres satu tingkat kos rendah dengan tiga bilik. Hasil pemeriksaan menemui mayat wanita dan anak perempuannya dalam bilik pertama di atas tilam,” katanya memetik laporan Metro Online.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati wanita itu mengalami tekanan emosi dipercayai akibat kecewa dengan teman lelakinya yang dikatakan menjalinkan hubungan sulit.

“Penemuan nota tulisan tangan menunjukkan wanita berkenaan memohon maaf kepada semua pihak dan menyatakan tidak sanggup menanggung sakit hati.

“Nota itu juga menyebut bahawa anak-anaknya tidak boleh tinggal dengan sesiapa, justeru dia ‘terpaksa membawa mereka bersama’,” jelasnya.

Kejadian terbongkar selepas seorang jiran terdengar jeritan seorang anak lelaki dan melihat wanita itu tergantung pada kipas siling dari luar tingkap.

Anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun turut menjadi sasaran cubaan bunuh, tetapi terselamat apabila ikatan kain pada lehernya terlucut ketika ibunya menolak dari tangga aluminium.

Jiran kemudian segera menghubungi polis dan membantu membuka pintu rumah yang berkunci dari dalam. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau pencerobohan di lokasi.

Mayat kedua-dua beranak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat manakala anak lelaki yang terselamat mengalami kesan melecet pada leher dan sakit di rahang, kini menerima rawatan di Hospital Kulim.

Selain nota tulisan tangan, polis turut menemui MyKad ketiga-tiga beranak serta kad ATM milik wanita itu yang diletakkan berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan cubaan membunuh

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button