
35 projek pembangunan bernilai RM2.3 juta dilaksana di Kedah – Saifuddin
KULIM – Sebanyak 35 projek pembangunan bernilai RM2.3 juta sedang dan akan dilaksanakan di daerah Kulim dan Bandar Baharu, Kedah tahun ini dengan keutamaan diberikan kepada projek berimpak tinggi memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek berkenaan berada di bawah seliaan Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Kedah dan melibatkan kontraktor kategori G1 bagi projek bernilai RM200,000 ke bawah.

Menurut beliau, antara fokus utama ialah kerja-kerja baik pulih rumah daif dengan purata kos sekitar RM25,000 bagi setiap unit, yang bertujuan meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup golongan terjejas.
“Mutu kerja mesti berada pada tahap terbaik supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
“Nilai projek mungkin kecil, tetapi impaknya sangat besar kepada penghuni,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Projek Mesra Rakyat di Kulim, hari ini.

Saifuddin berkata, peruntukan tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding RM1.8 juta pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan pembangunan di Kedah.
“Pemantauan rapi akan dilaksanakan sepanjang tahun merangkumi projek fizikal dan bukan fizikal, termasuk projek baharu serta projek sambungan, dengan penilaian prestasi dibuat menerusi sistem pemantauan berasaskan papan pemuka (dashboard),” katanya lagi.
Beliau berkata, projek berimpak tinggi seperti loji rawatan air turut diberi perhatian khusus bagi menangani isu bekalan air bersih yang masih belum stabil dan konsisten di beberapa kawasan di Kedah.
“Kita tidak menafikan wujudnya masalah, namun yang lebih penting adalah usaha memastikan masalah itu dapat diselesaikan.
“Tugas kami adalah memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan baik dan mencapai sasaran,” katanya lagi.
Menurut beliau, projek yang mengalami kelewatan masih boleh dipertimbangkan lanjutan masa sekiranya mempunyai justifikasi kukuh, namun tindakan intervensi akan diambil terhadap projek yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ demi melindungi kepentingan rakyat.
Beliau turut berkata, kelulusan projek baharu hanya akan diberikan selepas isu tanah diselesaikan sepenuhnya bagi mengelakkan peningkatan kos dan kelewatan pelaksanaan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Semua peruntukan pembangunan tersebut disalurkan dengan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, termasuk projek berkaitan banjir, jalan, jambatan dan sekolah, selaras dengan agenda pembangunan kerajaan negeri dan Persekutuan di Kedah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








