3 PPS dibuka di Kulim, 225 mangsa daripada 66 buah keluarga terjejas banjir
ALOR SETAR – Usaha memindahkan penduduk terjejas banjir di Kedah terus dipertingkat apabila dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka awal pagi ini di daerah Kulim, menjadikan keseluruhan tiga PPS aktif beroperasi setakat ini.
Setakat pukul 8 pagi, seramai 225 mangsa daripada 66 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Kulim sejak malam tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, PPS Masjid Al Muhtadin di Sungai Seluang merupakan pusat pertama yang dibuka pada pukul 10 malam, menempatkan 186 mangsa daripada 54 keluarga.
Ia disusuli pembukaan PPS Surau Keda Naga Lilit pada pukul 4 pagi yang kini menempatkan 39 mangsa daripada 12 keluarga.
Sementara itu, PPS SK Permatang Tok Dik yang mula beroperasi pada pukul 5 pagi masih dalam proses bancian jumlah mangsa.
“Kesemua mangsa banjir di daerah Kulim membabitkan penduduk dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina di Mukim Sungai Seluang.
“Berdasarkan maklumat daripada laman web Info Public Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), arus sungai di Sungai Sedim, Kampung Sedim di Baling telah melepasi paras waspada pada pukul 7.30 pagi,” menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan pembukaan awal sebuah PPS di Kulim susulan banjir yang menenggelamkan lima kampung sejak pukul 6 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








