Pekerja Malaysia di Singapura layak terima STR jika penuhi syarat ditetapkan
PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, warganegara Malaysia yang berulang-alik ke Singapura layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya memenuhi syarat ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, warga Malaysia yang keluar dan masuk Singapura sebanyak lapan kali dan ke atas setiap bulan ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara, dengan andaian individu itu berulang-alik setiap minggu
“Ia (STR) sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus “Tidak Lulus” (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja, atau mengikuti pengajian di luar negara,” katanya, hari ini.
Chin Ting menjelaskan, HASiL menilai kekerapan pergerakan keluar masuk negara bagi membezakan urusan sementara dengan keadaan menetap atau bekerja di luar negara.
“Pergerakan antara satu hingga tujuh kali sebulan masih dianggap munasabah dan biasanya membabitkan urusan sementara seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.
“Namun, lapan kali dan ke atas sebulan ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara,” katanya dalam hantaran di Facebook tersebut.
Hantaran itu bagi menjelaskan persoalan susulan timbul isu kelayakan STR “dibatalkan” untuk warganegara yang kerap keluar masuk Singapura.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan warganegara yang terkesan dengan pelaksanaan dasar berkenaan supaya mengemukakan rayuan, yang dibuka sepanjang tahun ini.
Beliau turut menegaskan, STR adalah bantuan tunai bersasar kerajaan di bawah semangat “kita jaga kita” yang dikhususkan untuk warganegara Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan bantuan itu diagihkan secara adil kerana ia melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







