BISNES & EKONOMI

Koop Sahabat labur RM2 juta lancar Sahabat Brand, sasar 100 SKU tembusi pasaran arus perdana

YAN – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) memperuntukkan RM2 juta bagi melancarkan Sahabat Brand, jenama baharu yang diwujudkan bagi memperkasa produk usahawan dalam kalangan anggotanya.

Inisiatif itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) berjaya menembusi rangkaian kedai runcit terpilih serta pasaran arus perdana menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, pelancaran Sahabat Brand membuktikan komitmen koperasi dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti.

Menurut beliau, kesedaran masyarakat terhadap peranan koperasi sebagai platform pembangunan perniagaan perlu terus diperkasakan kerana konsep berkoperasi membolehkan usahawan berkembang secara bersama dan saling menyokong.

“Kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa koperasi merupakan antara wadah penting untuk membangunkan perniagaan perlu terus dipupuk. Melalui koperasi, rakyat dapat bergerak bersama-sama bagi memperkukuh perniagaan masing-masing.

“Pada masa sama, konsep berkoperasi bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama anggota, malah menjadi kekuatan yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

koop sahabat
Sahabat Brand diperkenalkan bagi memperkasa produk usahawan tempatan menerusi sokongan pembangunan produk, pematuhan standard kualiti, strategi pemasaran serta pengedaran ke pasaran lebih luas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat), Mazri Mahmood berkata, menerusi Sahabat Brand, pihaknya bukan sahaja membantu usahawan menghasilkan produk lebih kompetitif, malah menyediakan ekosistem sokongan merangkumi pembangunan produk, pematuhan standard kualiti, strategi pemasaran dan pengedaran.

Katanya, langkah itu dijangka mampu meningkatkan kebolehpasaran produk perusahaan mikro selain memperluaskan capaian mereka ke pasaran lebih besar.

“Kita sasarkan untuk bawa produk daripada usahawan Sahabat ke pasaran global bagi membantu nilai tambah untuk meningkatkan ekonomi terutama produk PKS dan tempatan.

“Produk yang dipasarkan di bawah Sahabat Brand akan melalui proses pemilihan berdasarkan aspek kualiti, keselamatan makanan serta standard pembungkusan sebelum dipasarkan menerusi ekosistem perniagaan Koop Sahabat dan rangkaian Kedai Sahabat.

“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran usahawan tempatan di samping mewujudkan identiti jenama yang konsisten dan diyakini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sahabat Brand sempena Program KS Jelapang Padi Run 2026 di Pantai Murni di sini, baru-baru ini.

Baca juga : Jom@Coop 2026 perkasa digitalisasi, sasar koperasi capai RM73 bilion menjelang 2030

Sahabat Brand diwujudkan sebagai platform pengedaran dan pengkomersialan berpusat bagi membantu usahawan mikro dalam kalangan anggota Koop Sahabat memasarkan produk mereka dengan lebih meluas serta berdaya saing.

Melalui inisiatif itu, produk yang memenuhi piawaian kualiti serta pembungkusan akan dipasarkan menerusi ekosistem perniagaan Koop Sahabat dan rangkaian Kedai Sahabat.

Keuntungan hasil jualan pula akan dikembalikan kepada lebih 466,000 anggota menerusi agihan dividen serta pelaksanaan pelbagai program kebajikan.

Pada fasa awal, Sahabat Brand akan memberi tumpuan kepada produk makanan terproses, bahan masakan tradisional serta produk bernilai tambah yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang dalam pasaran tempatan.

Dalam masa sama, program larian komuniti Jelapang Padi Run 2026 yang dihadiri kira-kira 3,200 peserta dianjurkan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan dalam kalangan anggota koperasi serta mendekatkan koperasi dengan masyarakat setempat.

Jelapang Padi Run bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan semangat berkoperasi, mempromosikan keusahawanan anggota dan menyokong pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Koop Sahabat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button