BERITA SEMASA

Jom@Coop 2026 perkasa digitalisasi, sasar koperasi capai RM73 bilion menjelang 2030

PETALING JAYA – Kerajaan menyasarkan sektor koperasi negara mencapai perolehan RM73 bilion menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 (DigiKOP 2030).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin di IKMa haro ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya gerakan koperasi berani keluar daripada zon selesa dan beralih kepada model lebih cekap, telus serta dipacu teknologi.

Menurutnya, koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, sebaliknya menjadi jentera perubahan ekonomi rakyat yang membina kekuatan komuniti dan merapatkan jurang ketidaksamaan.

“Melalui DaKoM 2030, kerajaan mensasarkan koperasi sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan perolehan RM73 bilion menjelang 2030.

“Sasaran ini hanya dapat dicapai jika koperasi berani berubah daripada model tradisional kepada model yang lebih berdaya saing dan dipacu teknologi,” katanya ketika merasmikan Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 dan Sambutan Jubli Platinum Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga Jun 2025, Malaysia merekodkan lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.4 juta orang, aset hampir RM268 bilion dan perolehan melebihi RM40 bilion.

“Angka ini membuktikan koperasi kekal relevan dan berdaya saing. Namun kita mahu koperasi melangkah lebih jauh dengan meneroka sektor strategik bernilai tinggi seperti rantaian bekalan makanan, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” katanya lagi.

Mohamad berkata, pelaksanaan DigiKOP 2030 bertujuan mempercepat proses digitalisasi koperasi bagi meningkatkan tadbir urus, produktiviti dan akses pasaran.

“Digitalisasi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Koperasi mesti memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan buatan untuk terus relevan dan mampan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, IKMA memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan koperasi yang berilmu dan profesional sejak 70 tahun lalu.

“Sepanjang tahun lalu, IKMa melaksanakan 777 program latihan termasuk Program Bimbingan Strategik dan Transformasi Digital (BESTARI) bagi memperkasa koperator dengan kemahiran semasa,” katanya lagi.

Tambah beliau, penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pula membuka lembaran baharu dalam pembangunan pendidikan koperasi negara.

“UKKM bukan sekadar universiti, tetapi manifestasi komitmen melahirkan generasi baharu koperator dan technopreneur yang mampu memimpin koperasi di peringkat nasional dan global,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, UKKM menawarkan biasiswa melalui kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPD) bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada anggota koperasi.

“Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 dianjurkan bersempena ulang tahun ke-70 IKMa sebagai platform turun padang mendekati gerakan koperasi serta memperkukuh agenda transformasi sektor berkenaan selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button