BISNES & EKONOMI

Nasken Coffee peroleh pengesahan halal, jamin piawaian Halalan Toyyiban

KUALA LUMPUR – Nasken Coffee terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pematuhan piawaian Halalan Toyyiban apabila 17 cawangannya kini menerima pengesahan sijil halal, sekali gus mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memastikan setiap aspek operasi memenuhi standard halal yang diiktiraf.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn. Bhd., Mohd Nazif Ab Aziz berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan kesungguhan syarikat untuk menawarkan bukan sahaja kopi dan hidangan berkualiti, malah memastikan setiap premis beroperasi mengikut keperluan pensijilan halal.

Beliau berkata, Nasken Coffee sentiasa meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan dengan memastikan semua cawangannya mematuhi standard Halalan Toyyiban sepenuhnya bagi memberikan keyakinan kepada pelanggan terhadap kebersihan, kesucian dan kualiti produk yang ditawarkan.

“Komitmen kami di Nasken Coffee sentiasa jelas, bukan sahaja memberikan pengalaman kopi dan hidangan yang premium, malah memastikan setiap cawangan kami mematuhi standard 100 peratus Halalan Toyyiban yang diiktiraf demi kesucian serta jaminan para pengguna,” katanya.

Jelasnya lagi, pensijilan halal yang diterima melibatkan operasi premis Nasken Coffee merangkumi kilang, gudang penyimpanan serta kenderaan logistik syarikat bagi memastikan keseluruhan rantaian operasi mematuhi piawaian yang ditetapkan.

nasken
Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn. Bhd., Mohd Nazif Ab Aziz.

Pengiktirafan itu menjadi satu detik bermakna buat Nasken dalam memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan dan integriti setiap produk yang ditawarkan, di samping menjadi pemangkin kepada perkembangan syarikat pada masa hadapan.

Baca juga : Nik Nazmi rasmi pembukaan Nasken Coffee di Putrajaya, meskipun bercuti

Majlis penyerahan Sijil Halal kepada 17 cawangan itu berlangsung di Nasken Coffee Pasir Tumboh dan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Nasken Internasional Sdn. Bhd. atas komitmen syarikat dalam memperoleh pensijilan halal yang diiktiraf sebagai antara pensijilan halal paling berprestij di dunia.

“Sijil Halal Malaysia sangat penting kerana ia memastikan setiap makanan dan minuman yang disediakan bukan sahaja halal tetapi juga halal lagi baik. Proses pengeluarannya pula melalui penelitian yang sangat teliti, sekali gus menjadikan pensijilan halal Malaysia antara yang paling diyakini di dunia,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Ustaz Asri Daud.

Pensijilan halal yang diterima melibatkan pematuhan menyeluruh terhadap operasi perniagaan Nasken Coffee, merangkumi pengurusan premis, proses penyediaan makanan dan minuman serta aspek kebersihan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Kejayaan memperoleh pengesahan bagi 17 cawangan itu turut mencerminkan kerjasama erat antara Nasken Coffee dengan agensi berkaitan termasuk Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam memperkukuhkan ekosistem industri makanan dan minuman halal di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button