Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina: Shafie Apdal dipenjara 5 minggu
KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara lima minggu hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataannya berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan Presiden Parti Warisan itu terhadap sabitan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Amir Shah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300 jika disabitkan kesalahan, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang serta Ahli Parlimen Semporna diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.
Pada 22 September 2025, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Presiden Parti Warisan itu susulan kenyataan yang didakwa mengganggu perjalanan prosiding inkues berhubung kematian Zara.
Susulan itu, pada 23 Oktober tahun lalu, Koroner Amir Shah membenarkan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie dan aktivis Che Muna Din, yang juga dikenali sebagai Mona Din.
Kedua-dua pihak berkenaan dikehendaki menjawab dakwaan tersebut di bawah Perintah 52, Peraturan 3(2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Pada 18 Disember 2025, Mona Din mengaku bersalah atas kesalahan menghina mahkamah dan didenda RM300 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya.
Inkues bagi menyiasat kematian remaja itu bermula pada 3 September tahun lalu dan dijadualkan bersambung pada 24 Ogos ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















