Kes Zara Qairina: Lima remaja dituduh guna perkataan mencela
KOTA KINABALU – Lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak, di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Kesemua remaja berkenaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama ke atas mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.
Untuk rekod, identiti kesemua suspek tidak boleh didedahkan dan dilindungi mengikut Akta Kanak-kanak 2001 kerana masih berusia di bawah 18 tahun.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara kira-kira pukul 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memberitahu pemberita yang menunggu di luar mahkamah, setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 September depan untuk sebutan semula kes.
Katanya, hanya perkara itu boleh didedahkan, manakala hal lain yang berkaitan dengan prosiding tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan dikeluarkan mahkamah.
Selain Nor Azizah, pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








