BERITA SEMASA

Isu dakwaan ‘pintu belakang’ masuk universiti, Haim Hilman jangka didakwa esok

CYBERJAYA – Ahli EXCO negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah memberitahu bakal didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan esok berhubung kenyataan dilakukannya berkaitan isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).

Beliau yang juga ADUN Jitra memaklumkan perkara demikian dalam stu hantaran di Facebook, hari ini.

“Insya Allah saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela,” katanya dalam hantaran tersebut.

Haim Hilman sebelum ini menegaskan, beliau sedia ke mahkamah demi mempertahankan dakwaan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pertimbang tindakan perundangan.

Katanya, beliau menghormati hak KPT itu tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataan tersebut.

“Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta, dan bukti,” katanya lagi.

KPT pada 15 Jun lalu memaklumkan sedang meneliti tindakan perundangan terhadap Haim berhubung kenyataannya dibuat menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, Haim turut mendakwa wujud puluhan ribu pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam melalui ‘pintu belakang’.

Beliau turut mendakwa kononnya universiti awam kini ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button