Hampir 1 juta liter diesel bersubsidi dijual pada hari pertama akses awal BUDI MADANI
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan akses awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia bermula dengan lancar apabila hampir satu juta liter diesel bersubsidi dijual pada hari pertama tanpa sebarang aduan atau gangguan besar dilaporkan.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, sistem pengesahan MyKad di stesen minyak berfungsi dengan baik sekali gus memastikan urusan pembelian diesel bersubsidi berjalan teratur.
Sepanjang hari pertama pelaksanaan semalam, hampir 24,000 transaksi direkodkan membabitkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat dan industri.
“Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN,” menurut kenyataan MOF.
MOF turut merakamkan penghargaan kepada pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan semua agensi pelaksana atas kerjasama memastikan pelaksanaan akses awal itu berjalan lancar.
Pelaksanaan berkenaan menjadi fasa persediaan sebelum BUDI Diesel dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara bermula 1 Julai ini.
Mulai tarikh itu, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad.
Di bawah inisiatif BUDI Diesel, pemilik kenderaan diesel persendirian diberikan kuota asas sebanyak 200 liter sebulan, manakala pemilik pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 300 liter sebulan.
Sehingga pukul 11 pagi semalam, portal rasmi BUDI MADANI menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan kuota 100 liter sebulan daripada pemilik pikap dan SUV yang layak.
Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial pula, subsidi diesel terus disalurkan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing.
Kerajaan Persekutuan juga bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai, supaya tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat subsidi.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat dan industri.
“Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











