BERITA SEMASA

MoF nafi buka permohonan tambahan subsidi BUDI95

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) menafikan pihaknya membuka permohonan awam bagi tambahan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95).

MoF dalam satu kenyataan hari ini berkata, kuota 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi bersasar sampai kepada majoriti rakyat selain mengekalkan kestabilan bekalan.

Tambahnya, dakwaan sedemikian timbul berpunca daripada salah faham pada satu ciri pada portal BUDI95 yang disalah tafsir sebagai saluran terbuka untuk orang ramai memohon peningkatan kelayakan subsidi.

Kata MoF lagi, fungsi ‘permohonan tambahan’ itu sebenarnya direka untuk kes operasi tertentu dengan keperluan jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot.

Berikutan salah tafsir ciri berkenaan sebagai ruang untuk meningkatkan kuota peribadi, butang permohonan tersebut telah dinyahaktifkan daripada digunakan.

“Kerajaan menegaskan, had semasa adalah langkah sementara yang perlu bagi mengurus peningkatan kos subsidi susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran tenaga global.

“Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, setiap penerima boleh membeli sehingga RM398 RON95 sebulan , dengan kerajaan menanggung kira-kira RM500 dalam bentuk subsidi,” kata kenyataan itu, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button