BERITA SEMASA

BUDI95 kekal mampu milik – RM1.99 seliter bagi 16 juta rakyat, RON95 tanpa subsidi pada paras RM2.60

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang layak akan terus menikmati harga subsidi RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Bagi mereka yang tidak layak di bawah inisiatif BUDI95, perlu membayar harga petrol RON95 RM2.60 seliter.

Melalui kenyataan malam tadi, MOF berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Dengan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menetapkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter untuk warganegara Malaysia yang layak mulai 30 September 2025, kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter,” menurut kenyataan itu.

MOF juga memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.

Sementara itu, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter bagi tempoh berkenaan.

Melalui inisiatif BUDI95, seramai 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif layak membeli RON95 pada harga subsidi berkenaan.

Setiap individu diberikan siling penggunaan sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelonggaran memohon kuota tambahan bagi menjamin kelangsungan pekerjaan.

BUDI95 merupakan inisiatif subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu dan dilaksanakan secara berperingkat.

Peringkat pertama melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada golongan B40, sebelum diperluas kepada semua rakyat Malaysia yang layak.

Anwar menegaskan pelaksanaan subsidi bersasar itu adalah hasil daripada tadbir urus yang baik serta usaha kerajaan membanteras ketirisan kewangan negara.

Penjimatan daripada langkah itu katanya, akan disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas.

“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button