BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Taktik ubah nombor plat isi RON95: KPDN Johor lancar siasatan

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor melancarkan siasatan berhubung dakwaan cubaan mengaburi pihak berkuasa dengan mengubah nombor pendaftaran kenderaan Singapura bagi membolehkan pengisian petrol RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah menerima aduan rasmi berhubung kejadian berkenaan dan pasukan siasatan telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan.

“Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat terkini akan dikemas kini nanti,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang individu mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95.

Pemilik video berkenaan mendakwa tindakan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu dipercayai sebagai taktik baharu untuk menjadikannya kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Dalam video tersebut, apabila didekati dan disoal, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi kejadian dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihak polis akan mengambil tindakan saman sekiranya mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu melanggar peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 10.35 malam tadi namun laporan polis hanya diterima pada pukul 10.05 pagi tadi.

“Laporan mengenai kejadian itu telah dirujuk kepada KPDN untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan penggunaan minyak subsidi.

“Polis akan mengesan pemilik kenderaan dan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan, kita akan mengambil tindakan saman,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button