JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pukul di kebun sawit: Polis tahan 10 suspek bawah umur

TAWAU – Polis menahan 10 remaja lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar dipukul secara beramai-ramai ketika dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kesemua suspek ditahan pada pukul 2 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui laluan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar sebelum mereka didatangi sekumpulan remaja yang bertanyakan mengenai keberadaan dua individu.

“Selepas mangsa memaklumkan bahawa dia tidak mengetahui lokasi individu yang dicari, kumpulan terbabit bertindak menyerang dan memukul mangsa secara beramai-ramai.

“Tiga lagi rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian turut dipercayai menjadi sasaran serangan kumpulan remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serta kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk manakala tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan sebelum tampil membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat yang diterima dan hasil siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan 10 remaja tempatan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Wilynton berkata, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau salah laku yang membabitkan pelajar dan remaja serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, manakala pihak sekolah dan masyarakat disaran terus bekerjasama dengan polis dalam usaha membendung gejala keganasan dalam kalangan remaja.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial, sebelum mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan segera dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button