BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bapa, anak ditahan disyaki bunuh pemandu e-hailing akibat hutang

AMPANG JAYA – Seorang bapa dan anak ditahan polis selepas disyaki membunuh seorang lelaki yang dipercayai berhutang ratusan ribu ringgit dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini pada 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 7.16 malam, Ahad lalu.

“Pegawai perubatan yang dipanggil ke rumah suspek memaklumkan mengenai kematian seorang lelaki tempatan. Polis segera ke lokasi dan siasatan awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Namun hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah dan kes disiasat semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada otot akibat kecederaan pada kulit dan tulang mangsa.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dipercayai mempunyai hutang mencecah ratusan ribu ringgit dan merupakan rakan kepada suspek berusia 36 tahun.

Mohd Azam berkata, dua suspek berusia 36 dan 73 tahun itu ditahan pada 26 Jun lalu.

Polis turut merampas sebatang rotan buluh dan satu playar boleh laras yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama direman selama 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai manakala suspek kedua direman 13 hari bermula 29 Jun hingga 11 Julai,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button