Ketua ‘Geng Rames’ ditahan atas pesawat, terlibat kes bunuh di Kedah
KUALA LUMPUR – Pihak polis berjaya menahan ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames, yang aktif menjalankan kegiatan mereka di kawasan SG Division, Sungai Petani, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, penahanan suspek dilakukan menerusi Op Tiga pada 22 Mei lalu, hasil kerjasama strategik antara pihak berkuasa India dan Thailand.
Menurutnya, sebelum dibawa pulang ke Malaysia, suspek terlebih dahulu ditahan sewaktu dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand ke Hyderabad, India.
“Suspek ditangkap berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain mempunyai Notis Merah Interpol.
“Dia ditahan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Katanya, suspek yang direman sehingga 29 Mei ini turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan dua kes pembunuhan berasingan di Padang Serai dan Bedong, Kedah sekitar Februari dan Ogos 2024.
“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama erat yang diberikan dalam usaha mengesan serta menahan suspek,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








