BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak ditemui cedera di Nilai, polis tahan suami isteri

NILAI – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan ketakutan dengan kesan kecederaan fizikal, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Menurut beliau, kes terbongkar kira-kira pukul 5.30 petang semalam apabila orang awam menemui kanak-kanak berkenaan terbiar di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley, di sini.

“Kanak-kanak itu didapati dalam keadaan ketakutan dan menggigil sebelum dibawa ke tempat selamat oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johari berkata, siasatan awal mendapati lelaki dan wanita yang ditahan itu masing-masing dipercayai bapa tiri dan ibu kandung mangsa.

“Pemeriksaan awal menemukan unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut turut mendapati mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 2020 selepas mengalami kecederaan ‘non-accidental injury’, termasuk kesan melecur akibat air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Johari menegaskan, polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button