BERITA SEMASALUAR NEGARA

Bekas atlet Olimpik Kanada jadi ‘raja dadah’ di Mexico ditahan

WASHINGTON – Bekas atlet Olimpik luncur salji Kanada, Ryan Wedding, ditahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas dipercayai menjadi ketua sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Mexico.

Suspek diberkas di Mexico City sebelum dibawa ke Amerika Syarikat untuk berdepan pertuduhan pengedaran kokain dan pembunuhan, menurut kenyataan FBI dilaporkan Al-Jazeera hari ini.

Ketua FBI, Kash Patel menyifatkan Wedding sebagai ‘El Chapo versi moden’ dan ‘Pablo Escobar masa kini’ merujuk kepada dua tokoh kartel dadah paling berpengaruh dari Mexico dan Colombia.

Menurut Patel, Wedding dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Kartel Sinaloa dan hidup di bawah perlindungan kumpulan itu sepanjang tempoh persembunyiannya di Mexico selama lebih sedekad.

FBI sebelum ini menawarkan ganjaran AS$15 juta (RM60 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penahanannya.

Ryan Wedding

Siasatan mendapati sindiket yang dikawal Wedding menjana lebih AS$1 bilion (RM4.01 bilion) setahun hasil kegiatan pengedaran dadah haram.

“Individu ini dan rangkaiannya dalam Kartel Sinaloa menguasai jalan-jalan di Amerika Utara dengan dadah, merosakkan generasi muda dan mencemarkan masyarakat,” kata Patel tanpa mendedahkan butiran lanjut operasi penahanannya.

Sementara itu, Penolong Pengarah FBI Pejabat Los Angeles, Akil Davis, memaklumkan Wedding yang menggunakan beberapa nama samaran termasuk El Jefe, Giant dan Public Enemy dijangka membuat penampilan pertama di mahkamah Amerika Syarikat pada Isnin ini.

Menurutnya, seramai 36 individu yang dikaitkan dengan rangkaian pengedaran dadah Wedding telah ditahan, manakala aset bernilai puluhan juta dolar termasuk kenderaan mewah, karya seni dan barang kemas turut dirampas.

Selain kesalahan berkaitan dadah, Wedding turut didakwa terlibat dalam mengupah pembunuhan individu yang dianggap sebagai musuh atau penghubung pihak berkuasa.

Pendakwa raya sebelum ini menuduh Wedding terlibat dalam pembunuhan seorang saksi yang dijadual memberi keterangan terhadapnya, selepas menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM20 juta). Mangsa dilaporkan ditembak sebanyak lima kali.

Wedding juga dituduh mengarahkan pembunuhan seorang pemandu yang disyaki mencuri kokain namun insiden itu mengakibatkan sepasang suami isteri terbunuh akibat kesilapan identiti ketika mereka sedang melawat Ontario.

Wedding pernah mewakili Kanada dalam acara parallel giant slalom pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Salt Lake City 2002.

Penahanan itu berlaku ketika Mexico meningkatkan usaha ekstradisi ahli kartel ke Amerika Syarikat bagi meredakan tekanan politik susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap kartel dadah dengan atau tanpa persetujuan Mexico.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button