Dua wanita Vietnam ditahan di KLIA kerana berkelakuan mencurigakan
SEPANG – Dua wanita warga Vietnam yang berkelakuan mencurigakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2, di sini didapati melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hari ini, kedua-dua wanita itu ditahan semasa pemeriksaan rambang oleh Unit Pemantau antara pukul 5 petang hingga 11 malam pada Selasa lalu, yang melibatkan 150 warga asing di sekitar terminal tersebut.
Menurutnya, kedua-dua wanita terbabit dikesan berlegar-legar secara mencurigakan di kawasan balai berlepas ketika pemeriksaan dilakukan.
Siasatan lanjut mendapati bahawa kedua-dua wanita itu, yang dijadualkan untuk berlepas ke Ho Chi Minh, Vietnam, telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.
Katanya lagi, semakan melalui sistem imigresen menunjukkan terdapat percanggahan pada pengesahan rekod perjalanan rasmi mereka, serta ‘endorsemen’ cap keselamatan keluar dan masuk pada pasport mereka yang tidak selaras dengan rekod perjalanan rasmi.
Sehubungan itu, kedua-dua wanita tersebut telah dibawa ke Balai Polis KLIA sebelum ditahan selama 14 hari di bawah Seksyen 51(3)(a) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1963/69 untuk siasatan lanjut. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Unit Penguat Kuasa.
“Operasi pemantauan yang dilaksanakan AKPS adalah selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), Arahan Pentadbiran dan arahan semasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya lagi, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah berterusan AKPS untuk memastikan tahap keselamatan dan kawalan sempadan negara berada pada tahap tertinggi.
AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan di pintu-pintu masuk negara, sekaligus memastikan sempadan negara ini bebas daripada sebarang cubaan untuk dibolosi.
Menurutnya, orang awam juga diminta untuk memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








