Selisih faham dengan isteri punca pemandu lawan arus
JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang memandu secara melawan arus di Jalan Skudai, Pantai Lido, susulan tular rakaman video kejadian itu di media sosial baru-baru ini.
Rakaman yang dikongsi oleh laman Facebook Community Roda Johor (CRJ) memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna biru dengan nombor pendaftaran JVX 1145 sedang dipandu secara berbahaya melawan arus pada pukul 1.41 pagi, Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian tersebut daripada Bahagian Pro Bukit Aman semalam, pada pukul 9.10 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada awal pagi kelmarin.
“Semakan nombor pendaftaran telah membolehkan polis mengenal pasti pemilik dan pemandu kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, pihak polis mengarahkan pemilik kenderaan berkenaan hadir ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan.
“Lelaki tempatan berusia 34 tahun itu hadir pukul 11.30 malam hari yang sama dan mengaku memandu secara melawan arus disebabkan ketika itu sedang berselisih faham dengan isterinya, sehingga hilang fokus dan tersalah memasuki laluan bertentangan,” jelasnya.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan alkohol.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Polis turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka bin Bambo di talian 014-8861791 atau hadir terus ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








