JENAYAH & MAHKAMAH

Suri rumah rugi hampir RM40,000 terpedaya tawaran kerja TikTok

KUALA TERENGGANU – Bermula dengan komisen hanya RM3 selepas membuat ulasan barangan, seorang suri rumah akhirnya kerugian RM38,505 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 36 tahun membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu selepas menyedari dirinya diperdaya.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon pada 15 Ogos lalu daripada seorang individu yang mendakwa mewakili TikTok untuk membuat pengesahan alamat.

“Selepas itu, mangsa menerima satu bungkusan di rumah sebelum dihubungi semula dan diminta membuat ulasan terhadap barangan berkenaan menerusi kumpulan WhatsApp.

“Bagi tugasan pertama itu, mangsa menerima komisen sebanyak RM3,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa kemudian ditawarkan tugasan lain dengan janji pulangan komisen lebih tinggi, namun diminta membuat bayaran terlebih dahulu bagi membolehkan komisen itu diperoleh.

Katanya, mangsa membuat lima transaksi ke beberapa akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM38,505 antara 15 hingga 18 Ogos.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan memperoleh ganjaran RM2,100, namun wang itu dikatakan dibekukan dan hanya boleh dikeluarkan selepas membuat bayaran tambahan.

“Curiga selepas diminta membuat bayaran lagi, mangsa menyedari dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, semua urusan tawaran kerja itu dilakukan secara dalam talian tanpa sebarang pertemuan dengan suspek, manakala wang yang digunakan adalah simpanan milik mangsa sendiri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button